Syeikhul Quran ~

Monday, October 22, 2012


Pondok Gelang Mas
Madrasah Yusufiah, Pondok Banggol Naim, Gelang Mas

Tel. 09-7972433


Sempena sambutan Maulidurrasul 1430H maka pihak pentadbiran Pondok Gelang, Mas akan mengadakan majlis minum teh sambil menderma bagi tujuan kemajuan pondok. Program ini akan dijalankan pada Ahad 11 Rabiul awwal 1430H bersamaan 8 Mac 2009M bermula jam 10 pagi hingga 7 malam. Pada sebelah malam pula diisi dengan ceramah umum. Semua muslimin dan muslimat dijemput hadir beramai-ramai

Sejarah Penubuhan
Menyedari bahawa pendidikan dan tarbiah adalah gabungan antara ilmu, amal, iman dan penghayatan yang ikhlas, suatu daya usaha yang berterusan digerak dan digarapkan dengan dokongan mereka yang prihatin, bertanggungjawab dan menghayati roh jihad serta komited yang jitu dari segenap lapisan masyarakat maka Madrasah Yusufiah, Pondok Banggol Naim, Gelang Mas telah ditubuhkan pada tahun 1987 oleh Tuan Guru Hj Awang bin Yusuf yang merupakan antara murid terdekat dengan Tuan Guru Hj Abdul Aziz Pasir Tumboh dengan didokong oleh beberapa orang pembantu yang mencurahkan seluruh daya, usaha, keringat idea dan pengorbanan yang mana bukan sedikit mehnah dan tribulasi yang terpaksa dilalui bukan sekali dua cabaran yang terpaksa diatasi dan bukan mudah denai beranjau yang terpaksa direntas. Sebelum balik ke kampung untuk membuka pondok ini, beliau mencurahkan ilmunya di Pondok Pasir Tumboh iaitu tempat pengajiannya. Malah sehingga tahun 2005 beliau terus menabur khidmat di Pondok Pasir Tumboh secara sambilan seminggu sekali. Beliau pada awalnya agak keberatan untuk membuka pondok setelah diminta oleh penduduk kampungnya tetapi atas nasihat daripada Tuan Guru Hj Hashim Pondok Pasir Tumboh yang memintanya supaya memperkenankan permintaan orang yang begitu memerlukan khidmat dan ilmunya maka beliau akhirnya membuka pondok ini.Dengan tertubuhnya Madrasah Yusufiah, Pondok Banggol Naim, Gelang Mas maka suatu medan yang subur sebagai pusat penyebaran ilmu dan penghayatan amal yang ikhlas dapat dilihat tersergam gagah sebagai kesinambungan kepada kemasyhuran daerah Pasir Mas ini yang terkenal dengan pusat pengajian pondok yang begitu banyak sejak dari dahulu lagi


Objektif Penubuhan

Melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik dan syakhsiyyah
Melahirkan pelajar yang mampu menjadi pemimpin
Melahirkan pelajar yang mampu menguasai kitab turath
Melahirkan pelajar muslim yang berwibawa dari segi akhlak, syakhsiyyah, keterampilan
Melahirkan masyarakat yang prihatin dalam memahami Islam sebagai ad-Din yang syumul
Melahirkan intelektual yang mempunyai ilmu yang boleh menangani permasalahan semasa masyarakat dalam segenap bidang kehidupan
Membentuk dan melahirkan golongan mukmin yang patuh kepada system hidup Islam dan peraturan masyarakat yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah
Melahirkan muslim yang celik al-Quran dan dapat menghayatinya dalam segenap bidang kehidupan

Lokasi

Madrasah Yusufiah, Pondok Banggol Naim, Gelang Mas terletak di Kg Banggol Naim, Gelang Mas kira-kira 11 km dari Pusat Bandar Pasir Mas di atas sebidang tanah seluas 4 ekar lebih

Program umum untuk masyarakat luar pondok
Sentiasa memberi ruang kepada pelajar sekolah pada musim cuti sekolah untuk datang menginap dan belajar di pondok ini
Membuat program umum seperti ceramah dan juga motivasi dengan kerjasama badan tertentu seperti Jabatan hal Ehwal Agama Islam Kelantan

Kemudahan asas
Masjid
Madrasah atau surau untuk berjemaah dan pengajian
Pondok penginapan pelajar, kelamin dan warga tua
Asrama pelajar perempuan
Rumah guru
Bangunan pejabat

Tenaga Pengajar

Terdapat 8 orang tenaga pengajar yang mengendalikan kuliah di pondok ini disamping kepala mutala’ah atau pembantu guru

Penghuni dan Pelajar Pondok

Jumlah penghuni pondok kini seramai 150 orang muslimin dan muslimat yang bujang disamping kelamin dan warga tua


Pengasas dan Mudir Pondok Gelang Mas

Nama : Tuan Guru Hj Awang bin Yusuf ( lebih dikenali dengan panggilan Ishak)

Pengajian :

a.     Pondok Apa-apa, Pasir Mas mula 1959-1961
b.     Pondok Pasir Tumboh dari 1961

Antara gurunya

1.      Tuan Guru Hj Ibrahim Pondok Apa-apa
2.      Tuan Guru Hj Mustafa Pasir Tumboh
3.      Tuan Guru Hj Abdul Aziz Pasir Tumboh
4.      Tuan Guru Hj Hashim Pasir Tumboh


Bidang ilmu yang diajar

Semua kitab turath dalam bidang Aqidah, Feqah, tasawwuf, Tafsir, Hadis, Nahu, Soraf

No comments:

Post a Comment