Sejarah Pondok dibumi Melayu
Sistem pengajian pondok di Tanah Melayu pula mulai muncul
pada permulaan abad ke 20, ada yang berpendapat bahawa ia wujud sejak abad ke
19 lagi. Sistem ini dipercayai berasal dari Pattani, Selatan Thailand.
Ada juga pendapat mengatakan ia berasal dari Acheh Indonesia.
Di Tanah Melayu, Kelantan dipercayai di antara negeri yang
mula-mula mewujudkan sistem pondok. Pondok pertama yang didirikan di Kelantan
ialah pada tahun 1820 M oleh Tuan Guru Haji Abdul Samad bin Abdullah (Tok Pulai
Chondong) Selain dari pondok Pulai Chondong yang didirikan di Kelantan sebelum
1910 ialah Pondok Tok Bachok pada tahun 1900, Pondok Haji Abdul Malik Tumpat
pada tahun 1907, Pondok Haji Yusuf Pulau Ubi, Geting Tumpat tahun 1908, Pondok
Kubang Pasu Kota Bharu pada 1900, Pondok Sungai Budor, Pondok Kampung Banggol,
Pondok Tuan Padang dan Pondok Tok Semian yang diasaskan oleh Haji Wan Abdul
Samad bin Mohd. Salleh atau lebih dikenali dengan gelaran Tuan Tabal.
Sistem ini mula berkembang pesat pada tahun 1909 sehingga
Perang Dunia Kedua. Antara tahun 1910 hingga 1045 M boleh dikatakan zaman
keemasan dalam perkembangan pengajian pondok di Kelantan. Pondok pada
masa itu telah mencapai kemajuan yang gemilang dengan lahirnya
ulama’-ulama’ terkenal yang mengharumkan nama negeri Kelantan. Ada sesetengah
pondok pada masa itu mempunyai penuntut lebih dari seribu orang.
Hal ini tidak dapat disangkal, dalam konteks masyarakat Melayu
tradisi, pengajian pondok merupakan institusi pengajian agama yang amat
disanjung tinggi. Ibu bapa menaruh kepercayaan penuh kepada sistem ini kerana
pelajar lepasan pondok amat dihormati dan mereka adalah alim ulama’ yang akan
membimbing masyarakat.
Pada sekitar tahun 1900, Pendidikan pondok telah mendapat
persaingan dari sekolah berbentuk sekular yang ditaja oleh British. Sekolah
sekular ini telah dibina di Kota Bharu pada tahun 1904. British telah
menggunakan berbagai cara untuk menarik minat rakyat ketika itu kepada sekolah
sekular. Antaranya dengan mengatakan sekolah berbentuk pondok itu adalah
primitif kerana mata pelajarannya tidak sama dengan sekolah Inggeris. Walau
bagaimanapun, usaha-usaha British tidak begitu berjaya. Masyarakat Islam ketika
itu lebih berminat kepada pengajian agama yang berbentuk pondok.
Antara pondok yang mendapat sambutan `dan mempunyai murid yang
ramai selepas tahun 1930 ialah Pondok Terusan Pasir Tumbuh yang ditubuhkan pada
tahun 1954, Pondok Bunut Payung, Pondok Lubuk Tapah, Pondok Sungai Durian dan
Pondok Kubang Bemban.
Walaupun pada tahun 1950 – 1970 an, sistem pondok masih
mendapat sambutan dari orang ramai, akan tetapi pada hakikatnya selepas tahun
1945, ia merupakan zaman kemalapan dalam sistem pengajian pondok. Dengan ini
dapatlah dirumuskan bahawa selepas kedatangan Jepun, pengaruh pondok
telah mengalami kemerosotan sedikit demi sedikit.
Keadaan ini semakin berterusan hingga
setelah negara mencapai kemerdekaan. Terdapat juga pondok-pondok
yang telah ditutup dan ada juga yang telah menukar sistem pengajiannya kepada
sistem sekolah. Contohnya pada tahun 1958, Pondok Bunut Payung, Kota Bharu
telah diubahsuai menjadi Madrasah Islamiah dan Pondok Haji Mohd. Noor Kampung
But menjadi Madrasah Saadah al-Qura pada tahun 1970.
Antara sebab utama yang membawa kemunduran institusi pondok ialah
telah timbul perubahan-perubahan di dalam perkembangan pendidikan Islam di
Kelantan. Ini kerana pada masa itu telah muncul sekolah-sekolah Agama (Arab)
Majlis Agama Islam (MAIK), sekarang telah diambil alih oleh Yayasan
Islam Kelantan (YIK) yang menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa
pengantar di bawah Kerajaan Negeri yang lebih teratur dan selesa
daripada pondok.
Penubuhan sekolah-sekolah Agama ini telah mendapat
sokongan yang baik dari masyarakat. Ekoran daripada itu, pihak MAIK sentiasa mempertingkatkan
usaha dalam bidang pendidikan dan kemuncaknya telah tertubuh nya Yayasan Pengajian
Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) pada 1 Oktober 1965 M.
Institusi ini telah melahirkan ramai cerdik pandai yang terkenal
di rantau ini. Pada tahun 1981, Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan telah
diserapkan ke dalam Universiti Malaya dan dikenali dengan Akademi Pengajian
Islam.
Namun begitu, kemunculan sistem pendidikan moden pada hari
ini, bukanlah bererti ia akan menggugat sistem pengajian pondok secara
keseluruhannya. Apa yang jelas sistem pondok ini masih mendapat
tempat dalam masyarakat. Terdapat segelintir penyokongnya tetap
mempertahankan sistem ini sama ada dengan mengekalkan pondok-pondok yang masih
ada ataupun menubuhkan sistem pengajian ala pondok dengan menggabungkan dua
sistem pendidikan, iaitu sistem persekolahan dan sistem pengajian pondok.
Di antara faktor kemerosotan sistem pengajian pondok ialah kerana
perubahan politik negara ini, persaingan dengan sistem pendidikan moden,
perubahan sosio-budaya masyarakat dan faktor dari dalam pondok itu sendiri,
seperti tiada pengganti yang berwibawa selepas ketiadaan pengasasnya. Walau
bagaimanapun pusat pengajian pondok tetap utuh sebagai sebuah institusi
pendidikan Islam sehingga sekarang. Kini terdapat beberapa buah pondok yang
masih mampu mempertahankan identiti pengajian secara tradisional sehingga
sekarang, antaranya seperti Pondok Pasir Tumbuh Kota Bharu, Pondok Sungai
Durian Kuala Krai dan Pondok Lubuk Tapah Pasir Mas.
Perkembangan terakhir menunjukkan bahawa pusat pengajian pondok
telah memasuki satu era ke arah kebangkitan semula untuk mengembalikan
fungsinya sebagai sebuah institusi pendidikan yang berkesan. Atas inisiatif
Tuan-Tuan Guru dan professional, pada tahun 1995 satu badan khas, iaitu Pusat
Pembangunan Pondok Berhad (PPPB) telah ditubuhkan di Kelantan dengan
tujuan untuk membantu membangunkan pondok-pondok yang bernaung di bawahnya dari
sudut pentadbiran pondok, infrastruktur dan guru-guru.
Pondok kita warisan ilmu
Wallahualam
~
No comments:
Post a Comment